09 December 2013

Niat Jahat Bidadari Yang Tidak Pernah Diketahui

Semakin banyak hari melewati aku, semakin aku nampak kecacatan pada sesuatu kebaikan. Mereka kata kebaikan akan menang melawan kejahatan dalam apa jua situasi sekalipun. Oleh sebab itu, kita sering diseksa untuk melakukan kebaikan. Dibasuh minda. Dengan alasan bahawa kebaikan akan merawat dunia yang sungguh memusnahkan ini. Tapi apa salah kejahatan? Hitam yang diterjemahkan. Buruk yang diperlihat. Keji yang disampaikan.

Atas dasar kebaikan itu sendiri, muncul kehitaman sebenar yang dilapik cantik dengan kain putih suci seindah taman yang digubah dengan bunga ros putih. Tenggelam segala jahat busuk niat yang terpasang. Orang akan menggunakan kepala orang lain untuk menjadikan alas kakinya. Alas yang digunakan apabila kaki itu terlalu tidak cukup jari untuk menggapai sesuatu matlamat. Alas yang digunakan untuk merawat kaki busuk dalam kepenatan. Alas yang akan disimpan di dalam almari apabila sengal-sengal itu hilang.

Betapa remuknya perasaan mangsa jenayah kebaikan yang sanggup menjunjung batu sehingga retak semua 206 tulang yang dimilikinya demi menyampaikan mesej bahawa insan malang itu wujud. Kata-kata kosong bersulamkan anugerah dihadiahkan. Tetapi hadiah itu bukanlah sesuatu yang diidamkan dalam meneruskan kehidupan ini.

Kenapa kita tidak diajar untuk berpada-pada dalam melakukan kebaikan?

Penting diri. Mereka kata ia adalah resepi yang menjahanamkan sesebuah kehidupan. Adakah benar? Benar jika mereka telah musnahkan sisi cantiknya sehinggakan langsung tidak dipandang orang. Hakikatnya, penting diri dapat menjauhkan hati daripada rosak. Memisahkan hati daripada bencana manusia. Mengelakkan hati daripada terjerumus ke kancah ketidakadilan kemudian hari.

Kenapa kita tidak diajar untuk memanfaatkan perilaku kejahatan?

Kita telah lama memasuki fasa mumaiyiz. Tetapi dalam konteks kehidupan, kita masih belum mencapai mumaiyiz sebenar. Salah dan betul masing-masing mempunyai topeng yang berlawanan wataknya. Aku tidak tahu apa yang patut aku sanjung antara kebaikan dan kejahatan.

Melakonkan watak halimunan itu sangat perit dan menyayat hati.

Tak tahu pulak dye rambut blonde tu ciri-ciri bidadari

No comments: